Peranan CESS ILP Sandakan dalam menganjurkan program komuniti kepada masyarakat amatlah penting agar komuniti setempat dapat berhubung dan beraktiviti dengan sihat sekaligus mewujudkan suasana kondusif dan produktif di kalangan masyarakat. Sehubungan dengan itu, JHEKS dengan kerjasama CESS ILP Sandakan dan CIAST Satelit Campus (CSC) Sandakan telah menganjurkan Program Kesedaran Berkesatuan Bagi Golongan Wanita khusus untuk masyarakat di Daerah Sandakan yang berlangsung di Bilik Seminar CSC Sandakan.
Tujuan penganjuran program adalah untuk memberi kesedaran kepada golongan wanita tentang faedah dan manfaat yang diperolehi sekiranya mereka berkesatuan agar hak-hak golongan berkenaan dapat diperjuangkan mengikut saluran yang betul. Program seminar selama setengah hari itu disertai hampir lima puluh (50) orang peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang profesion seperti penjawat awam, pekerja swasta dan pelajar.
Ceramah disampaikan oleh pegawai daripada JHEKS iaitu En. Deby Rustman bin Matimpan (Penolong Pengarah Kanan) dan En. Ahmad Shahrizat bin Amrin (Pegawai Kesatuan Sekerja). Diharap agar peserta dapat memanfaatkan informasi yang diperolehi daripada program ini seterusnya bertindak menubuhkan kesatuan bagi menyahut seruan pihak kerajaan kearah memupuk perpaduan dalam Keluarga Malaysia.
Be Inspired - Be Extra Ordinary - Be World Class with TVET