msen
ILP Sandakan telah menyertai Program Karnival Kerjaya Perdana Sandakan Tahun 2022 anjuran Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS). Program yang berlangsung di Dewan Masyarakat Sandakan selama sehari itu dirasmikan oleh Datuk Haji Yakub Khan, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah serta menyasarkan warga sekitar daerah Sandakan yang ingin mencari pekerjaan.
Beberapa syarikat dan industri terlibat dalam program ini dengan menawarkan temuduga terbuka seterusnya menganugerahkan surat tawaran bekerja secara langsung pada hari tersebut. Menurut sumber daripada PERKESO, program pembuka tirai tahun 2022 itu telah menerima kunjungan hampir tujuh ratus orang dalam pelbagai latar belakang yang berhasrat mencari pekerjaan melalui platform disediakan oleh pihak kerajaan tersebut. Pelbagai aktiviti berlangsung pada hari tersebut antaranya taklimat kerjaya oleh JPSM, pameran daripada pelbagai agensi dan syarikat, persembahan hiburan, temuduga terbuka dan majlis penyerahan surat tawaran pekerjaan oleh Menteri.
ILP Sandakan melalui Bahagian Khidmat Komuniti dan Sokongan Pekerjaan (CESS) telah mengambil peluang ini dengan mempamer dan mempromosikan produk latihan khususnya program Kursus Jangka pendek (customized course) kepada pengunjung yang hadir. Selain itu beberapa agensi juga terlibat dalam program ini antaranya Syarikat Industri Sawit, Industri Perkilangan, Industri Pasaraya, Industri Makanan, Perkhidmatan Insuran dan Takaful, Institusi Awam dan Swasta dan lain-lain lagi.
Beberapa industri daripada semenanjung juga turut serta dalam program ini dalam menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan antaranya syarikat Omron, Mydin, Adabi dan beberapa buah syarikat lagi. Program ini telah berjaya mencapai matlamatnya dan memberi manfaat pekerjaan kepada warga Sandakan dan sekitarnya.
Be Inspired - Be Extra Ordinary - Be World Class with TVET

Memperkasakan Kemahiran, Menyemarakkan Masa Hadapan

Empowering Skills, Igniting Futures