Bahagian Teknologi Telekomunikasi adalah salah sebuah jurusan yang terdapat di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan, Sabah dan merupakan satu-satunya bidang yang ditawarkan di bawah Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia di negeri Sabah.
Justeru itu, bidang ini amat berpotensi memberi peluang latihan kemahiran kepada belia sekitar negeri Sabah seterusnya memenuhi keperluan industri dalam bidang telekomunikasi. Peranannya bukan sekadar memberi latihan kemahiran kepada belia setempat malah menjadi tempat penyaluran maklumat serta latihan kemahiran kepada warga industri yang ingin menambahkan ilmu pengetahuan dan kemahiran selain meningkatkan (upgrade) tahap persijilan (Sijil Kemahiran Malaysia) sedia ada.
Pada hari ini, satu rombongan daripada pihak industri telekomunikasi diketuai oleh Tuan Haji Ts. Tadad bin Tasir, Pengarah Era Digital Venture Sdn Bhd (Former Head Operation Excellence Network Region & Head Netwrok Development Network Region, TM Berhad, Sabah) bersama En. Yusuf Yoda, Pengarah YY Empire Sdn. Bhd. telah mengadakan kunjungan mesra ke ILP Sandakan bagi membincangkan halatuju dan strategi kedua-dua pihak berkepentingan dalam industri telekomunikasi domestik. Ketibaan kedua-dua tetamu penting ini telah disambut oleh Tuan Haji Mohd Raris bin Mohamed Yusof, Pengarah ILP Sandakan dan disertai beberapa orang pegawai antaranya Timbalan Pengarah (Latihan), Timbalan Pengarah (Operasi), Penolong Pengarah CESS, Ketua Bahagian dan Pengajar Bahagian Teknologi Telekomunikasi.
Perjumpaan yang berlangsung sebelah pagi itu, membincangkan perkara berkaitan latihan kemahiran, persijilan pentauliahan (Certified Agencies) dan Kursus Keselamatan (NIOSH). Kriteria latihan berkenaan amat diperlukan serta menjadi syarat utama dalam kerja-kerja infrastruktur telekomunikasi. Oleh yang demikian, pelajar lepasan ILP Sandakan disaran melengkapkan syarat tersebut bagi memudahkan mereka bersaing dalam merebut peluang pekerjaan dalam bidang ini.
Turut dibincangkan perkara berkaitan teknologi terkini seperti kesaling hubungan di antara teknologi telekomunikasi, digital dan sistem pepasangan contohnya sistem kediaman pintar (smart home system) dan sistem perkhidmatan pembaikan telekomunikasi pintar (smart repair services system).
Perkara ini amat penting kerana kerajaan telah memfokuskan halatuju kearah 4IR (Industrial Revolution) kepada institusi TVET seluruh negara agar sentiasa selari dengan perkembangan teknologi digital yang bergerak sangat pantas. Perubahan yang signifikan dengan revolusi ini adalah usaha kearah perluasan capaian 5G agar semua sektor (industri, ekonomi, pendidikan dan pentadbiran) boleh dipacu lebih pantas dan berkesan sekaligus menjadi penanda aras kejayaan sesebuah negara. Perbincangan selama lebih dua jam itu diakhiri dengan lawatan ke bengkel Teknologi Telekomunikasi bagi meninjau persekitaran latihan yang dilaksanakan.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada kedua-dua wakil industri ini diatas kesudian berkongsi pengalaman dan buah fikiran sebagai input kepada pelaksanaan program latihan yang lebih komprehensif. Semoga pertemuan sulung kedua-dua entiti ini berupaya memacu industri telekomunikasi negeri Sabah dari sudut yang berbeza namun mampu memperkuat dan memperlengkap di antara satu sama lain agar sentiasa kompetitif di pentas persaingannya kearah mencapai aspirasi pembangunan negara.
"𝘽𝙚 𝙄𝙣𝙨𝙥𝙞𝙧𝙚𝙙, 𝘽𝙚 𝙀𝙭𝙩𝙧𝙖𝙤𝙧𝙙𝙞𝙣𝙖𝙧𝙮, 𝘽𝙚 𝙒𝙤𝙧𝙡𝙙 𝘾𝙡𝙖𝙨𝙨 𝙒𝙞𝙩𝙝 𝙏𝙑𝙀𝙏"