16 Januari 2024 | Selasa – Kesinambungan Karnival STEM peringkat daerah Sandakan yang diadakan pada bulan Julai 2023 yang lalu membuka lembaran baharu kepada ILP Sandakan untuk meneruskan kolaborasi pintar bersama agensi kerajaan lain khususnya Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan bagi tahun 2024 ini.
Matlamat utama kolaborasi pintar yang bakal dilaksanakan ini adalah bertujuan menarik minat generasi muda khasnya pelajar sekolah menyertai bidang STEM kerana menyedari kesan fenomena kurangnya permintaan pelajar bagi program berasaskan sains dan teknologi yang menyumbang kegagalan polisi negara mencapai 60 peratus pelajar dalam bidang ini. Kolaborasi pintar ini juga merupakan platform mendokong hasrat pimpinan tertinggi negara untuk meletakkan sasaran Malaysia berada dalam kalangan 20 negara teratas dunia dalam bidang ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kreativiti serta inovasi menjelang 2050.
Justeru, pelbagai program promosi STEM & TVET perlu diperkasa secara kolektif oleh semua pihak khususnya kerajaan melalui paduan institusi atau kerjasama antara kementerian berkepentingan bagi merealisasikan aspirasi kerajaan untuk kesejahteraan rakyat. Inisiatif pengurusan institut sepanjang tahun 2023 yang lalu, menjalinkan kerjasama industri dengan beberapa syarikat domestik dan luar negeri adalah bertujuan untuk memberi ruang kepada warga Sandakan dan sekitarnya menikmati teknologi selain memperolehi persijilan kemahiran diiktiraf badan profesional. Usaha ini akan diteruskan dan diperkasakan lagi pada tahun mendatang agar menarik minat golongan sasar terhadap STEM & TVET selain memenuhi keperluan tenaga kerja mahir sektor industri seterusnya mampu membuka ruang pekerjaan dan memacu ekonomi serta pembangunan setempat.
Dalam kesempatan pertemuan itu, pihak institut juga turut mempromosikan program Bitara Madani dengan menganjurkan kursus berkaitan STEM & TVET terbuka kepada semua lapisan masyarakat dengan menyasarkan peserta dalam kalangan pelajar di peringkat rendah dan menengah. Di antara kursus yang akan dilaksanakan sepanjang musim cuti penggal persekolahan bermula awal bulan Februari 2024 adalah Basic Drone Handling, Autonomous & manual Handling Edu Drone (Tello), DIY Computer dan PowerUp PowerPoint.
Perjumpaan yang diadakan di Bilik Mesyuarat PPD Sandakan itu diketuai oleh Puan Hjh Munah Hj Nasri (Pegawai PPD Sandakan), turut dihadiri oleh Dr. Syamsul Bahri Andi Mapiare, En Mazlan Mohd Yussof, En Chan Seng Siang dan Pn Rosti Lambitah. Manakala di pihak institut diketuai oleh Ts. Azmi Rahman Mat Zuini (Pengarah), Ts. Suhaidi Mustar (TPL) dan En. Anzari Mohd Daud (PP CESS).
Semoga kerjasama pintar kedua-dua pihak ini mampu direalisasikan seterusnya diterjemahkan melalui pelaksanaan program-program bercirikan STEM & TVET kepada warga Sandakan dan Sabah amnya sekaligus memenuhi aspirasi pembangunan Pendidikan dan TVET negara.
"Be Inspired, Be Extra Ordinary, Be World Class With TVET"