msen
10 Januari 2024 | Rabu – Lawatan kerja hari kedua pengurusan institut di pantai barat Sabah diteruskan dengan mengadakan kunjungan mesra ke syarikat Eternity Mode Sdn. Bhd (EMSB) beralamat di Plaza 333 Penampang, Kota Kinabalu. Syarikat EMSB merupakan pembekal perkhidmatan minyak dan gas yang diperbadankan di Kota Kinabalu, Sabah sejak tahun 2011 dan juga merupakan sebuah syarikat berlesen PETRONAS dengan lebih 10 tahun pengalaman projek khususnya berkaitan kerja-kerja sivil serta struktur dalam industri minyak dan gas.
 
Pertemuan kedua-dua pihak adalah menjurus kepada perbincangan kolaborasi ILJTM-Industri melalui program latihan TVET ILJTM iaitu Kursus Jangka Pendek (KJP), penempatan Latihan Industri, perkongsian maklumat dan peluang kerjaya dalam bidang. Pembuka bicara dan taklimat berkaitan syarikat telah disampaikan oleh Tuan Gesiri Gambung (Group Chief Executive EMSB) selain pengurusan institut juga berkesempatan diberikan penerangan terperinci berkaitan kerjaya kejuruteraan bawah air khususnya aktiviti atau pekerjaan luar pesisir (off shore) yang disampaikan oleh En. Jefson Morris Mojiliu (Managing Director, Eternity Subsea Sdn. Bhd).
 
Di pihak institut, Ts. Suhaidi Mustar (TPL) telah membentangkan perkara berkaitan institusi latihan TVET ILJTM selain memfokuskan tujuh bidang teknologi yang ditawarkan di ILP Sandakan khususnya program Kursus Jangka Pendek (KJP). Secara dasarnya pihak syarikat berminat untuk mengetahui lebih terperinci berhubung KJP bidang Teknologi Kimpalan berikutan terdapat beberapa orang pekerja teknikal di syarikat berkenaan yang perlu diiktiraf (SKM/TWI/CSWIP dan setaraf) kemahiran mereka.
 
Pada perjumpaan di premis EMSB ini, di pihak institut diketuai oleh Ts. Azmi Rahman bin Mat Zuini (Pengarah ILP Sandakan), turut diiringi oleh Ts. Suhaidi Mustar (TPL) dan En. Anzari Mohd Daud (PP CESS) manakala di pihak syarikat diketuai oleh Tuan Gesiri Gambung (Group Chief Executive EMSB) turut disertai oleh Puan Clarie Das (Director EMSB), En. Jefson Morris Mojiliu (Managing Director ESSB), En. Irvine Sinting (Field Engineer EMSB), Cik Izza Nabila (Admin cum Accounts Executive EMSB) dan Cik Jesyntha Chong (HR Manager EMSB).
 
Pada sesi petang, delegasi institut meneruskan misi jelajah rakan strategik dengan mengadakan lawatan kerja ke premis Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Sabah sebagai kunjungan balas pegawai IAB Cawangan Sabah ke ILP Sandakan pada 23 November 2023 yang lalu. Objektif pertemuan ini adalah bagi memperincikan lagi kolaborasi yang bakal dimeterai kedua-dua pihak berkaitan program Khidmat Konsultasi bagi bidang Perancangan Strategik Organisasi, Kemahiran Coaching dan Mentoring dan Pembangunan Pemimpin Pertengahan khusus kepada warga kerja ILP Sandakan.
 
Sesi perbincangan dimulai dengan ucapan aluan dan taklimat berkaitan IAB Cawangan Sabah yang disampaikan oleh Pengarah Cawangan IAB Cawangan Sabah kemudian diteruskan dengan ucapan daripada wakil institut iaitu Pengarah ILP Sandakan. Selesai ucapan mukadimah daripada kedua-dua pihak, perbincangan diteruskan dengan taklimat Khidmat Konsultasi bagi tiga bidang fokus utama yang disampaikan oleh Ketua Jabatan, Jabatan Pembangunan Pemimpin Pengurus dan Eksekutif Pendidikan.
 
Pada pertemuan kedua-dua entiti kerajaan ini, di pihak institut diketuai oleh Ts. Azmi Rahman bin Mat Zuini (Pengarah ILP Sandakan), turut diiringi oleh Ts. Suhaidi Mustar (TPL) dan En. Anzari Mohd Daud (PP CESS) manakala di pihak IAB Cawangan Sabah diketuai oleh Puan Khaziyati binti Osman (Pengarah Cawangan, IAB Cawangan Sabah), En. Indra Sahril bin Sayuati (Ketua Jabatan, Jabatan Pembangunan Pemimpin Pengurus dan Eksekutif Pendidikan. IAB Cawangan Sabah) dan Dr. Abdul Ghani (Pensyarah Kanan, IAB Cawangan Sabah).
 
Pihak pengurusan institut optimis kolaborasi ini berjaya direalisasikan bagi memantapkan lagi kualiti dan produktiviti warga kerja institut tanpa meminggirkan elemen sosial sebagai ramuan untuk memacu pembangunan negara melalui latihan TVET.
 
"Be Inspired, Be Extra Ordinary, Be World Class With TVET"
 

Memperkasakan Kemahiran, Menyemarakkan Masa Hadapan

Empowering Skills, Igniting Futures