msen
7 November 2023 | Selasa – Penerokaan kerjasama strategik institut bersama agensi kerajaan yang berkepentingan diteruskan dalam usaha untuk mempromosikan TVET ILJTM selain mencari ruang cetusan inovasi yang boleh diketengahkan dalam konteks teknikal dan vokasional. Umum mengetahui negeri Sabah memiliki kawasan hutan hujan dara yang menempatkan kekayaan flora dan fauna serta landskap semula jadi yang menarik.
 
Di negeri Sabah, Kumpulan Yayasan Sabah dipertanggungjawabkan memelihara dan menjaga khazanah alam ini dengan memperkukuhkan fungsinya sebagai pusat pembelajaran komuniti pribumi dalam bidang pemuliharaan biodiversiti dan penggunaan sumber alam yang mapan serta langkah memelihara bank gen sekaligus meneroka potensi bidang farmaseutikal dan bioteknologi. Di samping itu, agensi kerajaan negeri juga komited dalam memperkasa komuniti tempatan ke arah taraf kehidupan yang lebih baik dan lestari serta masa depan yang mapan.
 
Di peringkat kebangsaan, PETRONAS juga amat besar peranannya dalam mendokong usaha Kumpulan Yayasan Sabah dimana sejak tahun 2010 syarikat petroleum negara ini telah menyalurkan dana yang cukup besar untuk program konservasi hutan di Sabah dengan membina prasarana lengkap, kondusif, lestari dan bertaraf antarabangsa khususnya pusat pembelajaran, penyelidikan, pendidikan, pelancongan dan rekreasi alam semulajadi bagi tujuan memelihara kawasan perlindungan hutan (biodiversiti kelas dunia) yang telah diwartakan di negeri ini.
 
Justeru, pengurusan ILP Sandakan mengorak langkah berhasrat menjalinkan hubungan bersama agensi kerajaan negeri ini dengan mengadakan lawatan kerja ke Pusat Konservasi Kanyon Imbak (Imbak Canyon Conservation Area - ICCA), Tongod dalam daerah Telupid. Perjalanan ke lokasi mengambil masa hampir enam jam, dengan jarak lebih kurang 230 km dan melalui hampir 50 km jalan tidak berturap. Setibanya di lokasi, rombongan institut disambut mesra oleh wakil pegawai ICCA iaitu puan Nens Eliamin binti Kalmin seterusnya memberikan taklimat berkaitan ICCA.
 
Objektif lawatan adalah untuk mempromosi TVET ILJTM melalui taklimat latihan kemahiran kepada warga ICCA yang bersasar (seperti pekerja teknikal dan pentadbiran) selain menelusuri dan meneliti peluang melaksanakan program tanggungjawab khidmat komuniti (CSR) melalui pembangunan inovasi dalam konteks teknikal dan vokasional berkonsepkan hijau, tenaga baharu dan seumpamanya.
 
Pengisian program yang padat di ICCA itu dimulai dengan sesi taklimat latihan TVET ILJTM dan sesi berani mencuba “hands on” warga ICCA dikendalikan oleh Ts. Suhaidi Mustar (TPL) dan pasukan institut, sesi penerangan kesedaran kepentingan hutan @ “jungle trekking” kepada rombongan institut dipimpin oleh Encik Safri Jakian (Junior Forest Ranger) dan sesi taklimat khas “Pusat Pembelajaran Imbak Kanyon” disampaikan oleh Puan Nens Eliamin binti Kalmin (Bhg. Pentadbiran ICCA). Kunjungan wakil institut selama dua hari itu diketuai oleh Ts. Suhaidi Mustar (TPL) turut disertai oleh En. Anzari Mohd Daud (PP CESS), En. Billy Anak Rejap (Bhg. CESS) dan En. Ismail Muin (Bhg. Pentadbiran).
 
Lawatan kerja yang disifatkan signifikan kepada kedua-dua pihak ini, komited menatijahkan tanggungjawab hala tuju pembangunan lestari negara (selari dengan saranan badan dunia PBB berpaksikan konsep SDG dan ESG) diharap berjaya dilaksanakan dengan sokongan padu semua warga institut dan warga Sabah amnya melalui kesedaran kepentingan ekosistem biodiversiti bagi mewujudkan kehidupan yang lebih lestari dan seimbang disamping tanggungjawab meneroka komuniti luar bandar agar lebih mengenali TVET sekaligus berupaya menaiktaraf sosio-ekonomi penduduknya.
 
"Be Inspired, Be Extra Ordinary, Be World Class With TVET"
 

Memperkasakan Kemahiran, Menyemarakkan Masa Hadapan

Empowering Skills, Igniting Futures