msen

10 Jun 2023 | Sabtu – TVET ILJTM (ILP Sandakan) melalui satu dimensi baru apabila baru-baru ini telah dijemput oleh pihak PETRONAS sebagai pempamer dan pembentang dalam program interaktif Discover PETRONAS @ School (DPS) anjuran PETRONAS. DPS merupakan salah satu platform komunikasi utama bagi Program Tajaan Pendidikan Petronas (PESP) dan bermatlamat untuk menanam minat pelajar sekolah peringkat menengah dalam industri Minyak & Gas serta kerjaya berkaitannya. Program ini juga bertujuan membina dan meningkatkan imej jenama PETRONAS selain menjadi platform untuk memupuk bakat muda di seluruh Malaysia memilih PETRONAS sebagai salah satu majikan pilihan mereka. Selanjutnya, mewujudkan rangkaian yang mampan dan hubungan yang kolektif antara pelajar, sekolah, Kerajaan dan PETRONAS. Inisiatif ini menggambarkan komitmen PETRONAS untuk melabur dan memperkaya kumpulan bakatnya agar berupaya meneruskan legasi kejayaan dalam kelas perniagaannya seiring syarikat gergasi dunia sambil menjana impak sosial yang positif kepada masyarakat tempatan.

Terdapat lebih 10 buah booth pameran dalam program tersebut antaranya penglibatan daripada PETRONAS sendiri iaitu Division Downstream & Upstream, Gas Business/PD&T, Petrosains, Kimanis Petroleum Training Centre, dan Universiti Teknologi Petronas. Manakala penglibatan daripada jabatan lain antaranya ialah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Sabah, ILP Sandakan dan GIATMARA Tawau.

Peluang menyertai program ini dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengetengahkan konsep latihan TVET ILJTM merangkumi peranannya kepada pembangunan industri negara khususnya dalam mencipta pekerjaan, menyediakan tenaga mahir kepada industri, laluan karier dan kerjaya serta hala tuju graduannya. Seramai kira-kira 500 orang peserta dalam kalangan pelajar sekolah menengah sekitar daerah Tawau dengan melibatkan sekurang-kurangnya 23 buah sekolah telah menyertai program ini.

Program selama sehari itu telah dihadiri oleh Cik Norashsikin Mohd Arsad (PP BPPL) dan En. Anzari Mohd Daud (PP CESS) berperanan menyampaikan taklimat berkaitan TVET ILJTM melalui 8 slot yang telah disediakan oleh pihak penganjur selain mempamer produk latihan ILP Sandakan sebagai medium tarikan kepada peserta untuk lebih mengenali TVET ILJTM.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada pihak PETRONAS melalui pegawainya iaitu En. Shahrul Reza Zaikhuddin (Alliance Management, Human Capital Investment (HCI)) kerana menjemput pihak institut menyertai program ini khususnya dalam mempromosikan institusi TVET ILKA yang terdapat di negara ini. Semoga usaha bersepadu kerajaan ini berupaya memperkasa ekonomi dan perpaduan negara melalui hala tuju pendidikan dan industri negara dalam kerangka Malaysia MADANI.

"Be Inspired, Be Extra Ordinary, Be World Class With TVET"

#TVET #TVETMalaysia
#JTM #ILJTM #KSM
#ILP #ADTEC #JMTI
#lifelonglearning
#SkillsMalaysia2
#SKilIS4AIl
#ilpsandakan

Memperkasakan Kemahiran, Menyemarakkan Masa Hadapan

Empowering Skills, Igniting Futures