Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata), Manolito Mohd. Dahlan berkata, usaha itu bertujuan memboleh­kan para pelajar tahfiz menimba ilmu pengetahuan tambahan yang diharap dapat membantu mereka selepas tamat pembelajaran kelak.

Beliau berkata, antara bidang TVET yang diperkenalkan adalah pengeluaran produk minuman, katering, pastri, jahitan dan membaiki motosikal.

“Malah kita sudah ada sekolah tahfiz seperti Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari di Selangor yang terlibat dalam perniagaan katering dan pastri serta Madrasah Tahfiz Al-Kayyis di Pulau Pinang yang mengeluarkan produk air mineral.

“Ada juga seorang pelajar tahfiz yang tamat pengajian dan mempunyai simpanan sebanyak RM50,000 hasil daripada kemahiran TVET yang digunakan untuk menjalankan perniagaan,” katanya kepada para pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (ICLLIE) 2017 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai dekat sini hari ini.

Majlis perasmian itu telah di­sempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Manolito memberitahu, pengenalan TVET untuk sekolah tahfiz itu mendapat kerjasama daripada beberapa pihak seperti kolej komuniti yang menghantar para pensyarah mereka untuk menga­jar pelajar tahfiz pada hujung ming­gu.

“Kami berharap dapat melahirkan lepasan tahfiz yang juga mahir dalam bidang lain untuk memberi sumbangan kepada masyarakat,” ujarnya.

Beliau menarik perhatian, transformasi sekolah tahfiz di negara ini yang dahulunya hanya tertumpu kepada pendidikan menghafaz al-Quran adalah hasil daripada usaha kerajaan melalui rancangan menyeluruh dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.