IPOH - Jawatankuasa Pemerkasaan bagi Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET),  bakal  mengadakan siri jelajah ke seluruh negara dalam usaha mendapatkan maklum balas orang ramai mengenainya.

Pengerusinya, Nurul Izzah Anwar berkata, siri jelajah yang akan bermula di zon utara dan selatan itu juga akan melibatkan pertemuan bersama orang ramai termasuk pihak industri serta pihak yang berkepentingan.

Menurutnya, sesi pertemuan berkenaan diharapkan dapat  membantu memberikan maklum blas mengenai TVET dan sekali gus usaha-usaha bagi penambahbaikannya.

"Saya fikir hari ini ada persoalan yang dibangkitkan di Parlimen juga kerana Kementerian Belia dan Sukan melihat TVET sebagai satu daripada usaha dan cara untuk memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di luar bandar.

"Ini kerana, jika usaha tidak dibuat,  kita akan melihat penambahan penghijrahan beramai-ramai remaja daripada luar bandar ke bandar sedangkan hidup yang lebih berkualiti itu boleh saja didapati di luar bandar, " katanya.

Nurul Izzah berkata demikian pada sidang media sempena hari terakhir Persidangan Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam 2018 (WCIT 2018) di Casuarina @ Meru, hari ini.

Sementara itu, Nurul Izzah juga berkata, dia akan berusaha mengotakan janjinya bagi membawa kumpulan rock, Radiohead ke Malaysia tidak lama lagi.

Tanpa berselindung, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengakui bahawa kumpulan berkenaan adalah kumpulan kegemarannya sejak sekian lama.

"Jika mereka bersetuju dengan cadangan saya untuk mengadakan konsert atas nama konsert amal, saya akan bawakan. Jadi doakan dahulu.

"Media janganlah lapor lagi dengan terperinci, nanti kalau surat tak keluar, Radiohead tolak, siapa yang perlu dipersalahkan? Media Malaysia juga (yang dipersalahkan)," katanya.

Nurul Izzah sebelum ini berjanji untuk membawa kumpulan berkenaan ke Malaysia sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Bagaimanapun beliau memberitahu janji tersebut akan diuruskan selepas bulan Ramadan bagi menghormati bulan tersebut di samping memberi laluan kepada isu-isu lain yang lebih memerlukan perhatian.

PUTRAJAYA - Jawatankuasa Pemerkasaan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berhasrat menjadikan pelajar lepasan progran itu setaraf graduan institusi pengajian tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan TVET, Nurul Izzah Anwar berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) sebagai langkah awal dalam usaha memperkasakan TVET.


"Kita telah dapatkan penjelasan daripada NGO-NGO dan mengenalpasti peluang yang ada bagi mendepani pelbagai isu yang timbul berkaitan TVET,"katanya selepas mengadakan pertemuan dengan 28 wakil NGO di bawah Gabungan Bertindak Malaysia di Kementerian Sumber Manusia di sini hari ini.

Nurul Izzah berkata, berdasarkan pertemuan itu, jawatankuasa terbabit mendapat gambaran menyeluruh mengenai situasi semasa TVET menerusi laporan terperinci oleh pihak terlibat.

"Dalam tempoh dua bulan, pertemuan dan perbincangan akan diteruskan bersama semua pihak terlibat sebelum merangka langkah yang akan dibuat dalam mencapai matlamat kewujudan jawatankuasa memperkasakan TVET,"katanya.

Sumber: Sinar Online