Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan, Sabah merupakan salah sebuah institusi latihan di bawah kelolaan Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia , Malaysia. Institusi ini telah mula dibina pada bulan November 2002 di bawah Projek Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) dan telah siap sepenuhnya pada awal tahun 2005 di mana Sijil Akaun Siap Kerja (CPC) telah pun dikeluarkan pada 5hb Februari 2005. Walau bagaimanapun, sebahagian daripada pegawai dan kakitangan telah mula berpindah dan berkhidmat di ILP Sandakan mulai November 2004 lagi. Teras utama ILP Sandakan adalah untuk memberi latihan kemahiran secara formal kepada belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pekerja-pekerja sektor industri dan orang perseorangan bagi mendapatkan kemahiran dalam bidang-bidang yang tertentu yang ditawarkan menerusi program latihan sepenuh masa dan separuh masa. Secara geografinya, ILP Sandakan terletak di Jalan Sibuga, Batu 5, Sandakan berdekatan dengan Jabatan Penjara Sandakan dan bersebelahan dengan Komplek Sukan Sandakan. Ia terdiri daripada 27 blok bangunan yang menggunapakai hampir 50 ekar kawasan secara keseluruhannya yang terdiri daripada kemudahan bengkel pembelajaran, pejabat pentadbiran, dewan, kemudahan asrama, kuarters kakitangan, kemudahan sukan dan rekreasi. Selain itu, kemudahan asrama ILP Sandakan boleh menampung kapasiti seramai 400 orang pelajar lelaki dan 200 orang pelajar perempuan pada satu-satu masa.