msen

23 Mac 2022 | Rabu – Seramai 4 orang delegasi daripada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) Cawangan Sabah diketuai oleh En. Hazrullizam Idris (Vice President) melakukan kunjungan rasmi ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan bagi membincangkan kerjasama strategik yang boleh disepakati dalam konteks latihan teknikal kepada sektor industri di sekitar pantai timur Sabah.

Menurut sumber daripada beliau, data terkini hanya sebanyak 3500 majikan sahaja yang berdaftar dengan HRD Corp dan seramai hampir 12,000 pekerja atau lebih kurang 20 peratus sahaja direkodkan telah menyertai latihan atau kursus (upskilling & reskilling). Angka yang terlalu jauh jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Sasaran HRD Corp sehingga penghujung tahun ini bagi negeri Sabah ialah sebanyak 5000 majikan berdaftar dan 150,000 pekerja menyertai kursus atau latihan. Sebagai makluman, pihak HRD Corp adalah sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan program kearah pembangunan kemahiran dan pengukuhan pengetahuan kepada tenaga kerja di Malaysia merangkumi kategori majikan, penyedia latihan, individu dan pihak industri.

Perbincangan bersama pihak HRD Corp ini diketuai oleh Tuan Haji Mohd Raris bin Mohamed Yusof, Pengarah ILP Sandakan turut disertai oleh En. Anwar Jusoh (TPL), En. Suhaidi Mustar (TPO), PP BKKL, PP CESS dan beberapa orang pegawai daripada bahagian BKKL dan CESS. Pihak HRD Corp juga bersedia membantu pihak ILP Sandakan untuk mempromosikan Kursus Jangka Pendek kepada sektor industri agar sasaran jumlah peserta tercapai mengikut perancangan.

Diharap perbincangan ini berjaya mencapai objektif utamanya agar lebih ramai lagi warga industri menyertai latihan atau kursus yang bersesuaian dengan sektor berkenaan sekaligus membantu dalam memperkasa pembangunan industri negara.

"PENERAJU DALAM MELAHIRKAN TENAGA MAHIR NEGARA"

Empowering Skills, Igniting Futures