ILPSDK BLOG

Berita Terkini ILP Sandakan

Pengumpulan data aset merupakan salah satu proses penting di dalam menguruskan aset kerajaan secara menyeluruh. Ia merupakan proses yang kompleks dan memerlukan perancangan, kawalan dan penyelarasan. Data yang berkualiti dapat membantu keputusan dalam pengurusan aset di peringkat operasi dan strategik. Sejajar dengan hasrat kerajaan agar pengurusan aset dilaksanakan secara sistematik cekap dan berintegriti, Bahagian Pembangunan dan Penyelenggaraan Aset (BPPA) dan Bahagian Pusat Sumber dan Multimedia (BPSM) ILP Sandakan telah berkolaborasi menganjurkan Bengkel Pasukan Pengumpul Data Aset Khusus (DAK) Peringkat Komponen Bagi Aset Tak Alih Kerajaan bagi menyelaraskan kaedah pengumpulan data sebelum dimuat naik ke dalam sistem mySPATA (sistem yang telah dibangunkan oleh MAMPU dengan kerjasama JKR). Objektif utama bengkel ini diadakan adalah untuk memberikan latihan kepada Pasukan Pengumpul Data ILP Sandakan berdasarkan garispanduan PeDATA:Aset Bangunan, Pengumpulan Data dan Pelebelan Aset Tak Alih Versi 2.0. Bengkel ini telah dijalankan pada 17 Julai 2017 bertempat di Ruang Akses ICT Bahagian Pusat Sumber dan Multimedia (BPSM). Bengkel ini telah dikendalikan oleh Cik Dg Zaimah Binti Ag Tuah dengan kerjasama En. Nurzharfan Bin Rafei Bui dan penyertaan melibatkan seramai 14 orang pegawai ILP Sandakan.

 

 

Kelab Kebajikan & Sukan Kakitangan (KKSK) ILP Sandakan telah mengadakan satu majlis perpisahan bagi meraikan Pn. Norlija Binti Latif (Unit Kewangan) pada 09 Jun 2017 (Jumaat) pada jam 4.00 petang di mana beliau akan berpindah dan berkhidmat di tempat baharu iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Wilayah Persekutuan Labuan bermula pada 12 Jun 2017. Majlis dihadiri oleh semua pegawai dan kakitangan ILP Sandakan dan majlis dimulakan dengan bacaan doa bagi memberkati majlis oleh Ustaz Suydo Bin Esku dan diteruskan dengan ucapan daripada Pengerusi Kelab Kebajikan & Sukan Kakitangan (KKSK) ILP Sandakan iaitu En. Anwar Bin Jusoh. Sehubungan itu, majlis diakhiri dengan mengedarkan juadah untuk berbuka puasa kepada semua pegawai dan kakitangan yang hadir. Akhir kata, warga ILP Sandakan mengucapkan selamat maju jaya kepada Pn. Norlija dan ribuan terima kasih diucapkan di atas segala jasa dan sumbangan yang diberikan sepanjang berkhdimat di ILP Sandakan.

 

 

Pengarah CIAST telah mengadakan lawatan kerja CSC-ILP Sandakan pada 24hb Mei 2017 bagi meninjau keadaan CSC dan seterusnya mengadakan pertemuan bersama pegawai & pelajar CSC di ILP Sandakan. Rombongan diketuai oleh En.Suimi Bin Abd Majid selaku Pengarah CIAST dan diiringi oleh En.Ghazali Bin Udin dan En.Ku Azmie Bin Ku Husin. Lawatan kunjung hormat tersebut disambut meriah oleh pihak pengurusan tertinggi ILP Sandakan. Kedua-dua pihak berharap agar persefahaman & kerjasama erat ini kekal bagi menghasilkan objektif pada tahap maksimum seiring dengan matlamat sebenar “Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS)”.

 

 

Pada 3 April sehingga 21 April 2017 , Majlis Perwakilan Pelajar ILP Sandakan Sesi 1/2017 telah mengadakan program Karnival Bulan Sukan , antara yang terlibat dalam program tersebut ialah Semua pelajar ILP Sandakan dan Staf ILP Sandakan. Objektif utama program ini diadakan ialah bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pelajar dengan staf ILP Sandakan. Selain itu, program ini dapat memupuk semangat kesukanan Para Pelajar ILP Sandakan bagi menyahut seruan Menteri Belia Sukan Malaysia. Antara sukan yang dipertanding ialah bola jaring, futsal, bola tampar dan takraw. Acara kemuncak Karnival Sukan pada sesi ini adalah acara Tarik Tali bagi semua bengkel di ILP Sandakan. Acara tersebut telah dimenangi oleh Bengkel Teknologi Elektrik.

Real time web analytics, Heat map tracking

Pelawat Dalam Talian

We have 52 guests and no members online