ILPSDK BLOG

Berita Terkini ILP Sandakan

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat ILP Sandakan Tahun 2017 dan Majlis Perpisahan Pegawai ILP Sandakan telah diadakan pada 21 Julai 2017 (Jumaat) bersamaan 26 Syawal 1438H dengan meriahnya di bawah anjuran Kelab Kebajikan & Sukan Kakitangan (KKSK) ILP Sandakan yang telah melibatkan semua ahli kelab serta seisi keluarga. Majlis bermula seawal 8.00 malam dengan kehadiran para hadirin yang memakai baju berwarna-warni memeriahkan suasana. Majlis ini turut dihadiri oleh pegawai-pegawai daripada Kampus Satelit Ciast-ILP Sandakan, NIOSH Sandakan serta kontraktor bermasa ILP Sandakan seperti Pengusaha Kafeteria (Sazreen Syah Enterprise), Dewan Makan (ZBN Group Holdings Sdn Bhd) dan pekerja-pekerja daripada Mega Juwita Contractor.

Pelbagai juadah istimewa hari raya telah dihidangkan dan disediakan secara ‘potluck’ beberapa kumpulan dalam meraikan hadirin yang hadir seperti nasi impit, nasi dagang, lemang, kuah kacang, ayam halia, rendang daging, mee kari, laksam, sate dan pelbagai lagi. Pihak jemputan juga turut membawa juadah masing-masing seperti Kek Cheese, Mee Sup dan sebagainya. Semua ahli bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MMP) Sesi 2/2017 turun menghulurkan bantuan dan bertungkus-lumus membuat persiapan jamuan hari raya pada hari rewang, mengeratkan ukhuwah dan memecahkan jurang sesama ahli. Tanpa bantuan mereka, pastinya program ini tidak mampu dijayakan dengan sebaiknya. Bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Selain majlis jamuan hari raya, sambutan majlis turut meraikan seorang pegawai ILP Sandakan iaitu En. Wan Mohd Hadi bin Wan Abd Rahman yang akan berpindah dan meneruskan khidmat di CIAST Shah Alam.

Pengerusi Kelab Kebajikan & Sukan Kakitangan (KKSK) ILP Sandakan, En. Anwar bin Jusoh turut memberikan sepatah dua kata dalam mengalu-alukan kehadiran ahli ke majlis dan mengharapkan semua ahli mendapat manfaat dan terhibur. Majlis berakhir pada pukul 10.30 malam selepas majlis penyampaian hadiah dan saguhati kepada pegawai yang diraikan. 

   

   

Pin It
Real time web analytics, Heat map tracking

Senarai Blog

Pelawat Dalam Talian

Kami mempunyai 33 pengunjung dan tiada ahli dalam talian